Archive | Keruntuhan Akhlak RSS feed for this section

Layan pelanggan terpilih di rumah

23 Oct


AKTIVITI SAMBILAN… membuat persediaan melayan pelanggan di rumah.

KUALA LUMPUR: Sekali imbas, sebuah rumah di Ampang, dekat sini, kelihatan seperti kediaman biasa dihuni sekumpulan anak gadis dari desa yang merantau ke ibu kota untuk mencari rezeki.

Namun selepas diselidik, rupa-rupanya rumah itu menyimpan pelbagai rahsia penghuninya, termasuk menawarkan khidmat urut tiga dalam satu iaitu urut biasa, batin atau khidmat seks jika bayaran ditawarkan pelanggan memuaskan.

Segala-galanya bermula apabila seorang penghuni rumah itu diperangkap menerusi perbualan di laman sosial selepas Metro Ahad memperoleh maklumat mengenai kegiatan itu.

Siasatan mendapati ‘perniagaan’ gadis itu, Ana, 20, agak unik apabila dia meminta deposit 50 peratus sebagai tempahan dan bayaran itu perlu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas wang dimasukkan, dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberitahu alamat kediamannya, selain menentukan masa perkhidmatan.

Tanpa menyedari dirinya terperangkap, Ana menceritakan aktiviti itu dilakukan untuk mencari wang dengan cara mudah dan selamat.

“Aktiviti ini saya lakukan secara ‘part-time’. Bila ada pelanggan hubungi saya menerusi laman sosial, baru saya melayan. Jika tiada, saya melepak bersama rakan.

“Lagipun, bukan susah untuk mengurut. Kebetulan, saya pandai mengurut. Ada yang mahu saya urut betul-betul. Ada juga yang hanya mahukan urutan batin dan khidmat seks.

“Biasanya saya tidak menyediakan khidmat seks. Namun jika ada yang memujuk dan membayar lebih, saya menerimanya,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan hingga RM3,000 sebulan.

Menurut Ana, rakan serumahnya turut melakukan aktiviti sama.

Malah, katanya, setiap pelanggan yang mahukan khidmat berkenaan diberi alamat rumah dan diminta datang ke situ.

“Saya menjalankan aktiviti di rumah. Saya dan rakan menyewa rumah sebagai tempat kediaman tetapi jika mahu khidmat kami, pelanggan akan datang ke rumah.

“Begitupun, saya meminta mereka memasukkan wang ke dalam akaun saya terlebih dulu sebelum memberi alamat dan nombor telefon. Takut nanti mereka memperalatkan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ana hanya menjalankan kegiatan haramnya pada waktu siang ketika waktu pejabat bagi mengelak aktiviti itu dihidu jiran atau pihak berkuasa.

Baginya, tempoh lapan jam itu mencukupi untuk mendapatkan pendapatan ala eksekutif muda setiap bulan tanpa perlu bekerja keras dan hanya menunggu pelanggan di rumah.

“Siapa mampu beri semua ini kepada saya? Jika bukan berusaha sendiri, saya tidak dapat miliki semua ini. Walaupun sekadar separuh masa, pulangannya lumayan.

“Paling banyak saya dapat mengumpul RM3,000 sebulan. Jika diikutkan, ia cukup banyak bagi kerja separuh masa,” katanya.

Selain Ana, Linda, 20, turut menjalankan aktiviti sama. Dia yang terpengaruh dengan rakannya mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu seawal usia 19 tahun.

Menurut Linda, rakannya sering menayangkan kemewahan di depannya dan disebabkan perasaan ingin tahu, dia mula bertanya dan kemudian turut mencuba.

“Dulu, saya melayari laman sosial hanya di rumah. Jika ada pelanggan, saya bawa mereka ke rumah rakan. Mula-mula takut juga tetapi bila sudah biasa, ia tidak menjadi masalah.

“Saya mengenakan bayaran RM100 bagi setiap sesi urutan. Begitupun, saya tidak menawarkan khidmat seks. Terpulang kepada pelanggan mahu yang mana satu, urut biasa atau batin,” katanya yang beroperasi di sebuah kondominium di ibu kota.

Pada mulanya, Linda mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun apabila terjebak dengan kemewahan cara mudah, impian itu dilupakan.

“Bukan mudah untuk hidup senang sekarang. Bagi saya, pelajaran belum tentu menjamin masa depan. Jadi apa salahnya saya bekerja seperti ini?

“Bezanya, saya mengurut di rumah dan bukan di pusat urutan mahupun spa. Sekurang-kurangnya, saya mendapat bayaran bersih dan tidak menerusi orang ketiga.

“Lagipun, mengurut di rumah lebih selesa. Tidak ramai tahu aktiviti kami dan saya hanya memilih pelanggan yang tidak dikenali. Namun, jika pelanggan mahu urutan melegakan kesakitan, saya tetap melayan,” katanya yang menawarkan khidmat sepenuh masa, termasuk malam.

Advertisements

Isteri kedua kerat zakar suami disyaki curang

22 Oct

JAKARTA: Gara-gara mengesyaki suaminya ada hubungan sulit, seorang daripada empat isterinya bertindak nekad membunuhnya dan mengerat mayatnya kepada 14 bahagian, menurut laporan di sini semalam.

Menunjukkan dia benar-benar marah dengan suaminya, wanita itu turut membuang zakar mangsa ke dalam sungai. Polis masih mencari zakar lelaki itu.

“Kami masih mencari kemaluan mangsa selain bahagian lutut dan perut,” kata ketua detektif polis Jakarta Timur, Nicolas Lilipaly dipetik sebagai berkata.

“Suspek berkata dia membuangnya ke dalam sungai.”

Muryani, isteri kedua mangsa, didakwa kerana membunuh Karyadi, 53, pengawal keselamatan di pasar Kramat Jati, 12 Oktober lalu, mengerat tubuhnya dan membuang anggota badannya.

Muryani, ditahan malam Isnin lalu. Dia mengakui membunuh suaminya dengan menghentak kepala mangsa dengan tong gas seberat tiga kilogram ketika dia tidur.

Polis merampas tong gas yang dipenuhi darah, sebilah pisau dapur dan pakaian mangsa yang berdarah dari rumah Muryani.

Polis menuduh wanita itu membunuh suaminya kerana menipunya.

“Dia juga berkata berasa lega dapat melepaskan kemarahannya. Kami akan jalankan ujian psikologi ke atas suspek di Hospital Polis Nasional,” kata Nicholas. – Agensi

Kertas siasatan penyebaran video seks Soi Lek ke Peguam Negara

19 Oct


KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung penyebaran video seks membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Dr Chua membuat laporan polis setelah diberitahu rakannya bahawa terdapat dua keping DVD dalam satu sampul surat sedang diedarkan di beberapa tempat di Batu Pahat, Johor dengan niat menganiaya dan menjatuhkan maruahnya.

Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan dan kertas siasatannya telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, sebelum Peguam Negara mengarahkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hee dalam soalannya ingin tahu rasional Dr Chua tidak dihadapkan ke mahkamah walaupun wujud bukti akan kes berkenaan.

Hishammuddin berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292/509 Kanun Keseksaan.

Pada Januari 2008, Dr Chua melepaskan jawatannya dalam Kabinet dan Naib Presiden MCA selepas mengakui beliaulah lelaki dalam video seks yang tersebar dengan meluas.
Laporan polis dibuatnya ketika itu berikutan penyebaran video berkenaan. – BERNAMA

Cekup remaja cuba perkosa anak jiran

8 Oct

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang tidak dapat menahan hajat mahu membuang air kecil di sebuah rumah kosong tergamam apabila secara tidak sengaja melihat aksi tidak senonoh seorang remaja belasan tahun yang cuba memperkosa kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Lebih mengejutkan apabila remaja berusia 18 tahun terbabit dilihat sudah membogelkan kanak-kanak terbabit dipercayai diperdaya sebelum dibawa ke rumah kosong terbabit.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam kelmarin apabila suspek, seorang remaja tempatan membawa mangsa ke sebuah unit kosong di pangsapuri di Kota Damansara di sini.

Difahamkan, suspek yang juga jiran kanak-kanak berkenaan sengaja memperdaya mangsa sebelum diajak naik ke unit pangsapuri yang belum dihuni.

“Sebaik masuk ke dalam unit pangsapuri itu, mangsa dipercayai mengunci pintu sebelum cuba membuka pakaian kanak-kanak perempuan berkenaan.

“Bagaimanapun, seorang pemuda kebetulan ke kawasan perumahan terbabit untuk membuang air kecil sebelum cuba masuk ke dalam unit kediaman kosong berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pemuda terbabit berusaha membuka pintu kediaman yang dikunci. “Sebaik pintu terbabit dibuka, lelaki berkenaan terkejut mendapati seorang remaja cuba melepaskan nafsunya ke atas seorang kanak-kanak perempuan. Lelaki terbabit segera menangkap suspek sebelum diserahkan kepada polis.

“Tindakan pantas lelaki berkenaan menghalang suspek memperkosa mangsa yang juga anak jiran berhampiran rumahnya. Difahamkan suspek tidak bersekolah lagi dan gemar merayau di kawasan perumahan berkenaan,” katanya.

Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek.

Dalam satu lagi kejadian, seorang gadis yang juga pembantu kedai nyaris diperkosa seorang lelaki ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik di sebuah rumah di Tasik Ampang, Ampang di sini. Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa tersedar dari tidur selepas mendapati tubuhnya ditindih menjerit menyebabkan penjenayah panik dan melarikan diri.

Menurutnya, polis mengesyaki suspek cuba memperkosa mangsa selepas mendapati gadis itu bersendirian di rumah itu kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Beliau berkata, suspek ditahan di kawasan berhampiran, petang hari sama.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berusia 21 tahun itu kenalan kepada seorang wanita yang menyewa sebuah bilik lain di rumah berkenaan.

Balik ‘disambut’ kekasih suami

1 Oct

KUALA LUMPUR: Kepulangan seorang isteri ke rumahnya di ibu kota selepas berhari raya di kampung disambut dengan kejutan besar apabila terserempak seorang wanita tidak dikenali di dalam kediaman itu, manakala suaminya tiada di rumah.

Apabila mengetahui wanita itu kekasih suaminya, berlaku pertengkaran sebelum isteri malang itu ditikam dengan pisau lipat menyebabkan dia cedera pada lengan kanan selain lebam di muka dan tubuh akibat diserang.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang Selasa lalu di rumah mangsa yang berusia 28 tahun di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini.

“Sebelum itu, kekasih suami wanita berkenaan cuba berhelah dengan memberi alasan dia kenalan adik ipar mangsa. Namun, mangsa tidak puas hati dengan jawapan itu kerana menemui pakaian dan seluar dalam wanita terbabit dalam bilik tidurnya.

“Berikutan itu berlaku pertengkaran sehingga wanita berusia 34 tahun terbabit bertindak ganas dengan mengeluarkan pisau lipat dan mengelar lengan kanan tangan mangsa sehingga berlumuran darah sebelum lari meninggalkan rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, lebih malang suami mangsa langsung tidak menunjukkan tanda simpati kepada isterinya, sebaliknya menghubungi mangsa pada jam 8 malam dan mengugut mahu membunuhnya.

Sumber itu berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

“Berdasarkan laporan mangsa, wanita yang menyerangnya mula mengenali suaminya sejak Mac lalu sebelum mereka menjalin hubungan intim. Wanita terbabit berjumpa suami mangsa di KL Sentral pada 9 September lalu sebelum dibawa pulang ke rumah mangsa.

“Ketika itu mangsa tiada di rumah kerana pulang berhari raya di kampung di utara tanah air,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan mangsa, polis menjalankan siasatan sebelum menahan suami wanita berkenaan serta teman wanitanya secara berasingan di ibu negara, Rabu lalu.

“Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artis dicekup di rumah janda

27 Sep

PUTRAJAYA: Seorang penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an dan awal 1990-an memberi alasan datang berhari raya ketika dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah janda dipercayai kekasihnya di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, kelmarin.

Artis berusia dalam lingkungan awal 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu premis itu pada kira-kira jam jam 11.45 malam.

Menurut sumber, artis terbabit dipercayai sudah beberapa kali mengunjungi kekasihnya yang menginap di tingkat dua kuarters 15 tingkat itu sebelum penguat kuasa Jawi menyerbu premis itu.

Sebelum itu, penguat kuasa Jawi mendapat maklumat awam berkaitan kehadiran artis itu di rumah janda beranak dua berusia lingkungan 30-an yang juga kakitangan kerajaan di sebuah kementerian, di sini, yang dikatakan berdua-duaan di dalam rumah itu, sejak jam 10.40 malam.

Sumber itu berkata, lima penguat kuasa Jawi membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dibuka artis terbabit dan ketika itu pasangannya berpakaian kemas seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

“Seperti biasa, penguat kuasa Jawi kemudian memasuki rumah dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang wanita yang juga berpakaian lengkap duduk di kerusi di satu sudut di dalam rumah itu.

“Artis terbabit yang dipercayai panik cuba melepaskan diri, cuba merayu bagi mengelak dikenakan tindakan dan secara jujur mengaku bukan mahram, tetapi tidak melakukan maksiat di rumah itu,” katanya.

Sumber berkata, alasan tidak bijak artis terbabit tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi yang kemudian mengingatkannya perbuatan berduaan dengan wanita bukan mahram adalah perbuatan maksiat dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral termasuk zina.

Katanya, walaupun artis terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya mahu menghantar barang kepada kekasihnya itu, tetapi alasan itu ditolak mentah-mentah penguat kuasa.

“Selepas rayuan tidak dipedulikan, artis terbabit dan pasangannya yang sudah beberapa bulan menjanda kemudian akur sebelum dibawa ke Pejabat Jawi cawangan Putrajaya untuk disoal siasat,” katanya.

Menurut sumber itu, pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dilakukan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen, 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua penjara tahun atau kedua-duanya sekali.

Leher dikelar geng Mat Rempit

27 Sep

SHAH ALAM: Tidak ubah seperti binatang apabila sekumpulan kira-kira 10 Mat Rempit cuba merompak dan menyerang seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam sebelum mengelar leher mangsa hingga berlumuran darah.



Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, kumpulan Mat Rempit berkenaan yang bersenjatakan pisau mencederakan pelajar berkenaan yang cuba menyelamatkan dompet dan telefon bimbitnya daripada dirompak.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terpaksa lari ke tengah lebuh raya bagi menyelamatkan diri dan meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan selepas dikejar kumpulan Mat Rempit terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faris, 21, berkata kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak sebelum susur keluar ke Padang Jawa. Dia dan seorang rakan yang membonceng motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan.

Menurutnya, dia tidak menggunakan laluan motosikal lebuh raya berkenaan kerana hari sudah pagi dan bimbang disamun kerana jalan agak sunyi. Namun, malang tidak berbau apabila sekumpulan Mat Rempit menaiki tujuh motosikal mengekorinya daripada belakang.

“Sebaik saja kumpulan terbabit mendekati, mereka tiba-tiba mengepung motosikal saya dan mengarahkan berhenti, namun saya yang bimbang sesuatu buruk berlaku cuba memecut.

“Tindakan saya itu menyebabkan kumpulan remaja terbabit tambah berang sebelum menendang motosikal saya hingga jatuh,” katanya.


Faris berkata, sebaik jatuh, kumpulan berkenaan terus menerpa dan membelasah dia serta rakannya untuk merampas dompet dan telefon bimbit.

“Mereka bertindak ganas, saya disepak dan ditumbuk manakala rakan pula ditampar. Kunci motosikal juga dirampas mungkin untuk melarikannya, saya cuba mempertahankan diri dan semasa bergelut saya tidak sedar leher sudah dikelar seorang daripada lelaki berkenaan.

“Saya yang berlumuran darah bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke tengah lebuh raya dan cuba menahan beberapa kereta untuk bantuan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia bernasib baik apabila ada kereta berhenti dan sudi membantu.

Katanya, pemandu kereta itu menghantar dia dan rakan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

“Luka akibat dikelar itu agak parah dan leher terpaksa dijahit dengan lapan jahitan, manakala rakan tidak mengalami kecederaan.

“Selepas selesai mendapat rawatan dan dibenarkan pulang saya terus membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam,” katanya.

Tambah Faris lagi, dia tidak dapat ke kuliah tiga hari selepas insiden itu dan terpaksa menjalani rawatan susulan serta trauma melalui lebuh raya berkenaan.