Archive | Islam dan Anda RSS feed for this section

Layan pelanggan terpilih di rumah

23 Oct


AKTIVITI SAMBILAN… membuat persediaan melayan pelanggan di rumah.

KUALA LUMPUR: Sekali imbas, sebuah rumah di Ampang, dekat sini, kelihatan seperti kediaman biasa dihuni sekumpulan anak gadis dari desa yang merantau ke ibu kota untuk mencari rezeki.

Namun selepas diselidik, rupa-rupanya rumah itu menyimpan pelbagai rahsia penghuninya, termasuk menawarkan khidmat urut tiga dalam satu iaitu urut biasa, batin atau khidmat seks jika bayaran ditawarkan pelanggan memuaskan.

Segala-galanya bermula apabila seorang penghuni rumah itu diperangkap menerusi perbualan di laman sosial selepas Metro Ahad memperoleh maklumat mengenai kegiatan itu.

Siasatan mendapati ‘perniagaan’ gadis itu, Ana, 20, agak unik apabila dia meminta deposit 50 peratus sebagai tempahan dan bayaran itu perlu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas wang dimasukkan, dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberitahu alamat kediamannya, selain menentukan masa perkhidmatan.

Tanpa menyedari dirinya terperangkap, Ana menceritakan aktiviti itu dilakukan untuk mencari wang dengan cara mudah dan selamat.

“Aktiviti ini saya lakukan secara ‘part-time’. Bila ada pelanggan hubungi saya menerusi laman sosial, baru saya melayan. Jika tiada, saya melepak bersama rakan.

“Lagipun, bukan susah untuk mengurut. Kebetulan, saya pandai mengurut. Ada yang mahu saya urut betul-betul. Ada juga yang hanya mahukan urutan batin dan khidmat seks.

“Biasanya saya tidak menyediakan khidmat seks. Namun jika ada yang memujuk dan membayar lebih, saya menerimanya,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan hingga RM3,000 sebulan.

Menurut Ana, rakan serumahnya turut melakukan aktiviti sama.

Malah, katanya, setiap pelanggan yang mahukan khidmat berkenaan diberi alamat rumah dan diminta datang ke situ.

“Saya menjalankan aktiviti di rumah. Saya dan rakan menyewa rumah sebagai tempat kediaman tetapi jika mahu khidmat kami, pelanggan akan datang ke rumah.

“Begitupun, saya meminta mereka memasukkan wang ke dalam akaun saya terlebih dulu sebelum memberi alamat dan nombor telefon. Takut nanti mereka memperalatkan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ana hanya menjalankan kegiatan haramnya pada waktu siang ketika waktu pejabat bagi mengelak aktiviti itu dihidu jiran atau pihak berkuasa.

Baginya, tempoh lapan jam itu mencukupi untuk mendapatkan pendapatan ala eksekutif muda setiap bulan tanpa perlu bekerja keras dan hanya menunggu pelanggan di rumah.

“Siapa mampu beri semua ini kepada saya? Jika bukan berusaha sendiri, saya tidak dapat miliki semua ini. Walaupun sekadar separuh masa, pulangannya lumayan.

“Paling banyak saya dapat mengumpul RM3,000 sebulan. Jika diikutkan, ia cukup banyak bagi kerja separuh masa,” katanya.

Selain Ana, Linda, 20, turut menjalankan aktiviti sama. Dia yang terpengaruh dengan rakannya mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu seawal usia 19 tahun.

Menurut Linda, rakannya sering menayangkan kemewahan di depannya dan disebabkan perasaan ingin tahu, dia mula bertanya dan kemudian turut mencuba.

“Dulu, saya melayari laman sosial hanya di rumah. Jika ada pelanggan, saya bawa mereka ke rumah rakan. Mula-mula takut juga tetapi bila sudah biasa, ia tidak menjadi masalah.

“Saya mengenakan bayaran RM100 bagi setiap sesi urutan. Begitupun, saya tidak menawarkan khidmat seks. Terpulang kepada pelanggan mahu yang mana satu, urut biasa atau batin,” katanya yang beroperasi di sebuah kondominium di ibu kota.

Pada mulanya, Linda mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun apabila terjebak dengan kemewahan cara mudah, impian itu dilupakan.

“Bukan mudah untuk hidup senang sekarang. Bagi saya, pelajaran belum tentu menjamin masa depan. Jadi apa salahnya saya bekerja seperti ini?

“Bezanya, saya mengurut di rumah dan bukan di pusat urutan mahupun spa. Sekurang-kurangnya, saya mendapat bayaran bersih dan tidak menerusi orang ketiga.

“Lagipun, mengurut di rumah lebih selesa. Tidak ramai tahu aktiviti kami dan saya hanya memilih pelanggan yang tidak dikenali. Namun, jika pelanggan mahu urutan melegakan kesakitan, saya tetap melayan,” katanya yang menawarkan khidmat sepenuh masa, termasuk malam.

Advertisements

Pengawal keselamatan digantung sampai mati

22 Oct


PENGAWAL keselamatan, Jaferi Ipee, 39, memeluk isterinya selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini di atas kesalahan membunuh dengan membakar menggunakan petrol seorang pekerja ladang dan merogol isterinya di Batu Kawa, Kuching. – Foto Nik Hariff Hassan

Bekas Timbalan KP Imigresen diarah bela diri 14 tuduhan rasuah

19 Oct


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56.

Mahkamah kemudian menetap 23 Nov ini untuk Yusof membela diri.

Pada 14 Oktober 2008, Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 November 2008, Yusof yang diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said turut didakwa di Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat pertuduhan yang sama dan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melibatkan pertuduhan yang sama.

Semua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Februari lalu untuk perbicaraan.

Seramai 15 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang kes itu. – BERNAMA

Bekas Ketua Pengarah Imigresen dibebas

16 Oct


WAHID tersenyum selepas dibebaskan daripada tuduhan rasuah RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Terlepas daripada tuduhan rasuah RM60,000 upah visa

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan rasuah sebanyak RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh, dua tahun lalu. Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah, gagal membuktikan kes prima facie. Sebelum ini, Wahid, 57, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada Datuk Seri Low Chang Hian, sebagai upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Wahid yang diwakili peguam bela Datuk V Sithambaran, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta di sini, jam 10.15 malam, pada 10 Julai 2008.

Pada prosiding perbicaraan yang bermula 17 Ogos 2009, seramai 40 saksi pendakwaan dipanggil termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar, Low dan beberapa ejen pekerja asing.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Wahid bersyukur di atas keputusan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral sepanjang kes berlangsung.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull dalam kenyataan media berkata, SPRM akan meminta Bahagian Perundangan dan Pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan itu.

Katanya, SPRM menghormati keputusan Mahkamah Sesyen, tetapi rayuan dibuat berikutan yakin kes mereka kukuh selain tiada sebarang hujahan bertulis atau lisan disertakan oleh mahkamah berhubung keputusan berkenaan.

Pulangan berganda

10 Oct

KUALA LUMPUR: “Setakat ‘dibela’ seorang lelaki, itu perkara biasa. Jadi perempuan simpanan sebenarnya peluang untuk saya memperoleh pulangan berganda kerana ‘kerjaya’ ini ‘lubuk wang’ yang sangat luas.


NIZA… sugar daddynya rela ‘berkongsi kasih’

Perempuan simpanan itu mendedahkan, menjadi trend di kalangan golongan berkenaan dibela lebih daripada seorang lelaki kerana di kalangan lelaki terbabit, mereka seperti ada kumpulan dan tidak kisah bertukar-tukar pasangan antara satu sama lain.

“Saya sendiri dibela tiga lelaki. Pada mulanya saya tidak tahu ada peluang seperti ini, tetapi apabila berlaku kepada diri saya, baru saya tahu.

“Rupa-rupanya lelaki yang bela perempuan simpanan ini ada rakan yang kemaruk buat benda sama. Justeru, apabila lelaki yang membela saya berjumpa mereka, itulah peluang saya untuk memasang ‘jerat’,” katanya.

Niza berkata, ketika pertemuan berkenaan, dia bergaya sehabis mungkin dan berpakaian seksi bagi menjerat rakan lelaki yang membelanya.

“Sesiapa yang pandang lain macam, itulah sasaran saya. Kami bertukar-tukar nombor telefon dan hanya dalam tempoh beberapa hari secara ‘rasmi’ saya menambah koleksi ‘sugar daddy’.

“Begitu juga yang saya lakukan untuk memperoleh ‘sugar daddy’ ketiga,” katanya.

Pada mulanya Niza mengakui bimbang ‘kecurangannya’ terbongkar, tetapi ternyata ada antara golongan terbabit rela ‘berkongsi kasih’.

“Saya bersungguh-sungguh merahsiakan kecurangan saya, tetapi lama kelamaan lelaki pertama yang membela saya bertanya bagaimana layanan rakannya terhadap saya.

“Dia mengakui tahu rakannya turut membela saya. Kata lelaki itu, ia perkara biasa dan dia turut melakukan perkara sama iaitu membela perempuan simpanan milik rakan,” katanya yang dibela kontraktor dan ahli perniagaan berstatus ‘suami orang’ sejak dua tahun lalu.

Menurut Niza, dia memperoleh ‘untung besar’ dengan hanya goyang kaki di rumah.

“Dulu saya bekerja sebagai jurujual minyak wangi di pusat beli-belah. Berapa sangat pendapatan yang mampu saya peroleh setiap bulan.

“Apabila mendapat habuan dibela tiga lelaki, saya mampu duduk di kondominium, pakai kereta berharga lebih RM100,000, bergaya seperti selebriti dan melancong ke luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, Niza berkata, dia sedar ‘tempoh laku’ dirinya hampir tamat kerana begitulah lumrah sebagai perempuan simpanan.

“Lelaki pertama yang membela saya setakat itu masih setia. Dua lagi masing-masing dah masuk lima dan tiga bulan.

“Tak tahu sampai bila mereka akan terus membela saya. Bagaimanapun, saya tak bimbang kerana ketika ini saya menanti peluang ‘menjerat’ rakan ‘sugar daddy’ saya,” katanya.

Bagi seorang lagi perempuan simpanan yang mendakwa siswi kolej swasta, memang satu trend lelaki yang membela perempuan simpanan ‘berkongsi kasih’ tetapi ia bergantung kepada ‘perangai’ dan layanan wanita terbabit.

“Saya mengakui trend itu sebab saya juga pernah melaluinya. Bagaimanapun, kena lihat perangai dan layanan kita sebab masing-masing mempunyai selera berbeza.

“Memang peluang buat wang terbuka luas. Orang lain satu ‘sugar daddy’, tetapi kita dua atau tiga,” katanya yang kini mempunyai dua ‘sugar daddy’ kontraktor berstatus suami orang.

Siswi yang dikenali sebagai Apple, 23, itu berkata, pada mulanya dia tidak menyangka wujud trend seperti itu kerana menyangka lelaki yang kemaruk membela perempuan simpanan tidak rela ‘berkongsi kasih’.

“Kalau dah namanya lelaki, mana cukup satu. Lelaki pertama yang membela saya rupa-rupanya turut membela perempuan simpanan rakannya.

“Patutlah dia tak kisah rakannya bela saya walaupun pada mulanya saya bimbang ‘diapa-apakan’ jika kecurangan saya terbongkar,” katanya.

Menurut seorang lagi perempuan simpanan, Mira, 26, dia memilih berkongsi sugar daddy bukan saja untuk menikmati kepuasan seks, malah jalan terbaik buatnya untuk memperoleh kesenangan berlipat ganda.

Menurutnya, rugi jika hanya dibela seorang lelaki kerana bukan semua kemahuan mereka mampu dituruti lelaki berkenaan dalam satu-satu masa.

“Saya kini dibela dua sugar daddy. Jika tidak peroleh sesuatu daripada seorang lelaki, saya minta pada seorang lagi.

“Sekalipun sedar mereka (sugar daddy) bukan hanya membela saya seorang sebagai perempuan simpanan, saya tidak pernah kisah. Yang penting, kemahuan saya dapat dipenuhi dan dapat bersenang lenang,” katanya.

Mira ketika ini bekerja di syarikat swasta dan pernah menjadi GRO di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Dia menjalin hubungan bersama lelaki yang kini menjadi sugar daddynya hampir tiga tahun, namun Mira mengakui ia tidak memadai dan sebab itu dia mencari seorang lagi lelaki yang ingin membelanya.

Gadis berasal dari Sabah ini berkata, dia mula dibela seorang lagi lelaki atas perkenalan yang diatur rakan lamanya di kelab malam.

“Kami berkongsi lelaki sama, tetapi ia bukan masalah. Lagi bagus begitu kerana rakan saya boleh beritahu apa yang saya boleh peroleh daripada lelaki berkenaan.

“Setakat ini saya mewah, soal duit bukan masalah. Tak dapat dengan seorang lelaki, saya boleh minta dengan seorang lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang pramugari yang hanya mahu dikenali sebagai Nisa berkata, memang mewah hidup dibela lebih daripada seorang lelaki simpanan, namun ada kalanya ia membebankan.

Katanya, bukan mudah melayan dua atau tiga lelaki pada satu masa dan menuruti apa saja kemahuan mereka.

“Selepas layan seorang, hari berikutnya kena layan pula yang seorang lagi. Hidup memang mewah, tetapi kadangkala saya penat melayan mereka.

“Jika bukan kerana kemewahan hidup, memang tidak terlayan dibuatnya. Apa pun, bila fikir balik ia masih berbaloi, lagi pun saya tahu hubungan begini tidak bertahan lama, kami (perempuan simpanan) hanya untuk persinggahan lelaki begini,” katanya.

Menurut Nisa, dia bernasib baik kerana jadual kerja dalam dan luar negara sebagai pramugari memudahkannya mengatur pertemuan dengan lelaki yang membelanya.

“Saya boleh beri pelbagai alasan untuk mengelak mereka ingin bertemu saya pada satu masa. Sebab itu, setakat ini saya masih bertahan dengan mereka.

“Entah sampai bila saya perlu hidup begini, yang penting sekarang saya perlu ‘pergunakan’ mereka sebaik-baiknya kerana sampai masa nanti saya tidak akan berguna lagi kepada mereka,” katanya.

Kisah Si Pemotong Kayu

4 Oct

Al-kisahnya seorang jutawan telah menulis satu wasiat -barang siapa yang dapat menjaganya di dalam kubur setelah beliau mati nanti akan diwarisi separuh dari harta peninggalannya. Lalu ditanya pada anak-anak semua adakah mereka sanggup menjaganya di dalam kubur nanti.

Lantas menjawab anak, mana mungkin kami sanggup menjagamu wahai ayah kerana pada masa itu ayah sudah pun menjadi mayat.

Selang keesokan dipanggil semua adik-beradiknya dan beliau berkata, “Wahai adik-adikku sekalian sanggupkah kamu menjaga akan daku setelah aku mati nanti bersama selama 40 hari di dalam kubur yang kuhias indah seperti banglo mewah ini dan aku juga akan memberi setengah daripada harta ku kepada di antara kamu yang sanggup bersamaku.”

Adik-adiknya pun menjawab, “Wahai abangku, adakah engkau sudah gila mana mungkin manusia sanggup bersama mayat selama itu di atas bumi inikan pula di dalam tanah.”

Lalu dengan sedih jutawan tersebut membawa diri ke kamarnya. Beliau masih bertegas dengan hajatnya yang ingin ditemani di dalam kubur nanti apabila beliau sudah mati nanti. Dipanggil setiausahanya supaya diwar-warkan di dalam akhbar dan media akan wasiatnya itu.

Akhirnya sampai jugalah hari di mana jutawan tersebut kembali ke rahmatullah. Kuburnya dihias indah dan digali seperti sebuah banglo di dalam tanah yang mempunyai kemudahan harian selama 40 hari.

Pada waktu yang sama seorang Tukang Kapak yang sangat miskin telah mendengar akan wasiat tersebut lalu diberitahu kepada isterinya apakah dia perlu mengambil kesempatan ini untuk menjadi kaya.

Isterinya berkata, “Wahai suamiku, apalah sangat menjaga mayat tersebut selama 40 hari dibandingkan kerja-kerjamu di dalam hutan bertemu harimau dan hantu bajang ketika menebang kayu. Lagi pun makanan disediakan.

Tukang kayu tersebut dengan tergesa-gesalah ke rumah jutawan tersebut untuk memaklumkan kepada waris jutawan tersebut akan niatnya.

Keesokan harinya dikebumikanlah jenazah jutawan tersebut walaupun mendapat bantahan dari orang-orang yang tahu akan agama. Si Tukang Kapak tu pun ikut sekali turun ke dalam tanah bersama kapaknya.

Setelah tujuh langkah para hadirin meninggalkan tanah perkuburan maka datanglah Mungkar dan Nakir ke dalam kubur tersebut.

Si Tukang Kapak yang tahu sedikit pasal agama menyedari akan siapa yang hadir itu pun menjauhkan diri dari mayat jutawan tersebut. Terdetik di fikirannya bahawa sudah tiba masanya jutawan tersebut akan disoal oleh Mungkar dan Nakir..

Tetapi sebaliknya yang berlaku, Mungkar dan Nakir telah menuju ke arahnya dan lalu berkata.

Apa yang kau buat di sini?

Aku menjaga mayat tersebut selama 40 hari untuk mendapat setengah harta wasiatnya.

Apa harta yang kau ada sekarang?

Aku cuma ada sebatang kapak ini sahaja untuk mencari rezeki.

Dari mana kau dapat kapak ni?

Aku membelinya.

Lalu hilanglah Mungkar dan Nakir di hari pertama di dalam kubur tersebut.

Hari kedua di tanya pula, apa yang kau buat dengan kapak ni?

Aku menebang pokok untuk dijadikan kayu api untuk dijual.

Hari ketiga di tanya lagi pasal kapak tersebut pokok siapa yang kau tebang dengan kapak ni?
Kat hutan mana ada orang punya pokok.

Adakah kau pasti?

Lalu hilang lagi Mungkar dan Nakir hari ke empat.

Adakah kau potong pokok tersebut dengan kapak ini ukurannya dan beratnya sama untuk dijual?

Aku potong cincai-cincai je, mana boleh ukur sama rata lalu hilang dan muncul Mungkar dan Nakir tersebut selama 39 hari dan soalannya tetap
sama berkisarkan kapak tersebut.

Di hari terakhir yang ke 40, datanglah Mungkar dan Nakir sekali lagi bertemu dengan Tukang Kapak tersebut.

Berkata Mungkar dan Nakir hari ini hari terakhir aku bersamamu buat seketika tapi aku akan bertanya pasal kapak ini. Belum sempat Mungkar
dan Nakir menyoal beliau, si Tukang Kapak tersebut telah melarikan diri ke atas dan membuka pintu kubur tersebut.lalu di perhatikannya begitu
ramai orang sudah menantikan kehadirannya untuk keluar dari kubur tersebut.

Si Tukang Kapak tersebut dengan tergesa-gesa keluar dan meninggalkan mereka semua dan sambil berkata ambillah korang semua harta tersebut dan
aku tidak menginginkannya lagi.

Sesampai di rumahnya lalu si isteri berkata wahai suami ku, di manakah setengah harta peninggalan jutawan tersebut.

Maka jawab si Tukang Kapak. Aku tidak mahukannya lagi. Sedangkan harta aku yang ada kat dunia ini hanya kapak. Tapi apa yang di soal Mungkar
dan Nakir selama 40 hari semuanya hanya pasal kapak ini…..

Apa akan jadi sekiranya harta aku begitu banyak. Bagaimana dapat aku menjawabnya ….

** Sahabat Rasulullah saw yg paling kaya ialah Abdul Rahman bin Auf. Dikatakan beliau adalah sahabat yang terakhir akan masuk syurga kerana lamanya masa yg digunakan untuk menghisab beliau.

Berapa banyak harta yg kita ada? Bayangkan … baju2 kita yg “18 kodi” kat rumah tu. Blm lagi cite stok baju2 lama yg terperosok dlm almari.. Berapa lama lah agaknya kita nak kena soal nanti?

Fikirkan sejenak

23 Sep

Kalau kita malas nak zikir, Malas lagi kita nak solat.
(Mestilah, dah zikir pun malas, apatah lagi nak sembahyang!)

Kalau kita susah nak hormat ibu ayah, Susah lagi untuk kita nak hormat Allah.
(Tak percaya? Cuba fikir, mak ayah pun kita tak reti hormat, macam mana nak hormat Allah, Tuhan Pencipta Alam ini?)

Kalau kita malas berpuasa, Malas lagi kita nak pergi berperang untuk Islam.
(Betullah! Kenapa? Sebab puasa sehari pun kita sudah tak tahan, macam mana nak berperang yang amat memerlukan kekuatan dalaman?)



Kalau kita susah dan lambat melunaskan hutang kita sesama manusia, Untuk apa kita berhutang dengan Allah.
(Contohnya tinggal solat, puasa, zakat dan macam-macam lagilah! Tak ke namanya hutang dengan Allah itu?)

Kalau kita tak mahu memaafkan orang lain, Allah lagi tak ingin nak ampunkan kita!
(Ampunkanlah sahabatmu, sedangkan nabi sendiri ampunkan ummatnya yang beribu!)

Kalau kita jauhkan diri kita satu langkah dari Allah, Allah meninggalkan kita seribu langkah jauhnya.
(Fikirlah sendiri!)

Kalau kita membenci Islam, Cuba fikir balik, Macam mana kalau Allah benci kita, meluat dengan kita?
(Fikir dahulu sebelum buat!)

Credit: http://www.iluvislam.com