Tujuh culik budak minta tebusan RM1 juta dipenjara

22 Oct


TUJUH lelaki dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam, selepas mengaku bersalah menculik kanak-kanak tahun lalu.

SHAH ALAM: Tujuh lelaki dihukum penjara antara tiga hingga lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah menculik kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM1 juta, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap buruh, N Arumugam, 43; jurujual, R Chandran, 24; kelindan lori, K Thianagaran, 26; penoreh getah, K Magindran, 28, dan jurujual, R Parameswaran, 27, manakala dua pesalah muda, G Thiagarajan, 20, dan M Prabu, 21, dihukum penjara tiga tahun.

Asmabi yang memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh semua tertuduh ditahan antara 20 hingga 22 April 2009, menegur perbuatan semua tertuduh dengan berkata: “Jika anak hilang sekejap pun kita sudah gelisah, inikan pula lima hari.”

Semua tertuduh mengaku salah atas tuduhan pilihan menculik mangsa di hadapan pusat tuisyen berhampiran rumahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini jam 8.20 pagi 10 April 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, mangsa diculik di hadapan pusat tuisyen oleh empat lelaki bersenjatakan parang sebelum dikurung di sebuah rumah di Taman Hijau, Rawang dan dibebaskan apabila keluarganya menyerahkan wang tebusan RM1 juta di Plaza Tol Sungai Buloh, pada 14 April 2009. Hanya sebahagian kecil wang tebusan ditemui semula daripada Arumugam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam S Sundarajan, James George, P Vijian, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Amirul Ridzuan Hanif.

Terdahulu ketika rayuan, peguam tertuduh berkata, anak guam mereka terjebak dengan kesalahan itu akibat terdesak dan kesempitan hidup. Ada antara anak guam mereka berhijrah dari kawasan pedalaman untuk mencari kehidupan di bandar sehingga terpaksa berhutang dengan peminjam wang haram atau along.

Mohd Suhairy bagaimanapun, memohon hukuman berat kerana kes itu mengakibatkan ahli keluarga mangsa trauma, selain menimbulkan ketakutan kepada masyarakat setempat.

Katanya, mangsa bukan saja dikurung selama lima hari, malah bapanya terpaksa membuat pengorbanan dengan menyediakan wang tebusan sebanyak RM1 juta untuk anaknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: