Bajet 2011: Kakitangan awam boleh pilih cuti bersalin 90 hari

16 Oct

Dana RM30j tingkat penyertaan wanita dalam keusahawanan

KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita kini boleh memilih untuk cuti bersalin sehingga 90 hari dan menerima gaji penuh berbanding 60 hari sebelum ini. Mengumumkan perkara itu menerusi pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memberi fleksibiliti kepada penjawat awam wanita untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, tertakluk pada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. “Kerajaan mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan,” katanya.

Mengiktiraf sumbangan wanita dalam kemajuan negara, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan.

Katanya, antara langkah diambil adalah memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan serta Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita.


PROGRAM PERMATA mendapat peruntukan sebanyak RM111 juta bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak.

Najib juga meminta sektor swasta mengambil pekerja separuh masa wanita, terutama mereka yang sudah berumah tangga sejajar langkah kerajaan menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, termasuk menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober lalu.
Beliau turut meminta pihak swasta memberi lebih banyak peluang untuk wanita memegang jawatan pada peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Sementara itu, peruntukan RM111 juta diberi untuk program PERMATA bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak di negara ini. Ia merangkumi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

“Pendidikan anak adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Justeru, kerajaan tidak berdikit dalam soal pendidikan mereka dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman penuh mencabar,” katanya.

Selain itu, bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada, diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian yang lain seperti lampin pakai buang.

Ketika ini, pelepasan cukai itu terhad pada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: