Mengurut Bayi

7 Oct

Sentuhan fizikal bukan saja menjalinkan hubungan yang erat tetapi turut melahirkan perasaan kasih sayang. Malah, ia adalah salah satu bahasa badan untuk meluahkan rasa naluri manusia. Untuk itulah mengurut bayi penting dan perlu dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan, khususnya antara ibu dan anak.

Hakikatnya, sentuhan melalui urutan bukan saja baik untuk orang dewasa tetapi bayi juga merasai kesan positifnya. Justeru, tidaklah menghairankan apabila mengurut sudah pun diamalkan sejak zaman lampau dalam semua budaya di seluruh dunia.

Di Mesir misalnya, urutan dibuat bagi merawat penyakit histeria manakala di India ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan. Begitu juga di Greek dan Rom, urutan digunakan bagi memulih otot atlit yang cedera. Di China pula, urutan digunakan untuk terapi perubatan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata selain itu kajian saintifik yang dilakukan ke atas binatang turut mendapati sentuhan memberikan kebaikan. Sentuhan adalah penting selain daripada hanya memberi makanan kepada binatang berkenaan. Jika tiada sentuhan binatang itu tidak berfungsi atau bertindak balas.

Dr Zulkifli berkata, keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya sentuhan. Ini samalah dengan bayi baru dilahirkan yang memerlukan sentuhan dan ia boleh dilakukan melalui urutan. Kajian juga mendapati, amalan mengurut dapat meningkatkan pertumbuhan dan pertambahan berat badan bayi sebanyak 48 peratus terutama pada bayi yang lahir tidak cukup bulan.

“Dulu pada tahun 1900 bayi yang dihantar di nurseri di letak begitu saja tanpa ada belaian. Pada 1938, barulah bayi dibelai dan disentuh sekali gus mengurangkan kadar kematian serta mengatasi masalah kurang berat badan yang di hadapi bayi. Di luar negara, Hospital Bellevue adalah yang pertama mengamalkan kaedah pegang dan belai serta menjadikannya sebagai rutin harian. Dengan hanya sentuhan, kadar kematian pada bayi baru lahir dapat dikurangkan daripada 30 peratus kepada 10 peratus.

“Kajian lain oleh pakar psikologi dari luar negara pula menunjukkan, bayi pra matang yang diurut 15 minit sehari dan empat kali sehari untuk selama sebulan didapati perkembangannya lebih ke hadapan. Semua hasil kajian itu membuktikan, urutan amat baik untuk bayi terutama proses tumbesaran,” katanya ketika membincangkan topik, Urutan Bayi selepas majlis pelancaran Siri Bengkel Sentuhan Urutan Bayi 2009 anjuran Johnson’s baby di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun ini, Johnson’s baby sekali lagi menganjurkan siri bengkel untuk mendidik ibu bapa mengenai cara mengurut bayi dan juga panduan memandikan bayi serta menyusukan badan daripada profesional penjagaan kesihatan. Bengkel berkenaan diadakan di beberapa buah bandar terpilih di negara ini termasuk di Selangor, Sabah, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Menerangkan lebih lanjut mengenai kebaikan urutan pada bayi, Dr Zulkifli berkata kaedah itu boleh merangsang serta memberi ketenangan pada bayi berkenaan sekali gus membantu sistem pernafasan, peredaran darah, perkumuhan dan penghadaman. Bayi yang diurut juga kurang menghadapi masalah kembung perut dan akan tidur lebih nyenyak serta mempunyai corak tidur lebih stabil atau tidak kerap terjaga waktu malam.

Katanya, bayi yang diurut setiap hari akan menunjukkan peningkatan berat badan yang lebih banyak iaitu 25 gram sehari, berbanding mereka yang tidak diurut hanya 17 gram walaupun nutrien daripada susu yang diberi kepada kedua-dua kumpulan adalah sama. Ibu bapa tidak perlu risau anak akan menjadi obesiti apabila terus diurut kerana berdasarkan fakta ia tidak memberi kesan seumpama itu, sebaliknya kanak-kanak akan membesar secara normal.

“Amalan mengurut memberikan beberapa kebaikan terutama bayi pramatang yang terpaksa dimasukkan dalam akubatur dan terpaksa melalui pelbagai pemeriksaan yang ada kala menyakitkan seperti suntikan jarum, ambil darah dan sebagainya. Untuk meredakan kesakitan yang dilalui dan mengurangkan tekanannya adalah lebih baik ibu mengurut bayi berkenaan dan tidaklah dia berasa bersendirian walaupun berada di dalam akubatur,” katanya,

Kebaikan mengurut biasanya lebih ketara dan sering dikaitkan dengan individu yang diurut tetapi amalan itu didapati turut memberi kesan positif kepada orang yang membuat urutan itu. Ini termasuk, mengurangkan kemurungan pada ibu selepas bersalin. Keadaan itu berlaku kerana apabila ibu mengurut anaknya, secara tidak langsung wujud interaktif antara kedua-duanya. Pada masa sama, mengurut membolehkan ibu berkenaan dapat melihat dan mengetahui perkembangan anaknya dari masa ke semasa.

Beri bayi susu badan

PENYUSUAN ibu kepada bayi adalah penting terutama dalam tempoh enam bulan awal pertama kelahirannya. Oleh kerana itulah semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu saja dari lahir sehingga berumur enam bulan pertama secara ekslusif dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.

Ini bermakna, dari lahir hingga mencapai usia enam bulan bayi diberi susu ibu saja dan tidak perlu makanan pelengkap, susu tambahan mahupun air.

Ketua Jururawat dan Koordinator Hospital Rakan Bayi, Elizabeth Muthu, berkata susu ibu sudah mempunyai khasiat yang cukup lengkap termasuklah omega, vitamin dan mineral lain yang diperlukan bayi. Justeru, ibu tidak perlu risau untuk memberinya makanan lain malah susu ibu juga mengandungi bahan pencegah penyakit (antibodi) dan ini dapat mengurangkan penyakit pada bayi.

Elizabeth berkata, kebaikan lain menyusui anak dengan susu ibu ialah ia tidak perlu dibayar berbanding membeli susu formula yang ada kala harganya begitu mahal. Selain itu susu ibu juga memudahkan penghadaman dan membantu perkembangan daya intelek yang lebih baik pada bayi. Bagi ibu pula, penyusuan sepenuhnya pada bayi dapat mengelakkannya mengalami bengkak payu dara. Pada masa sama, ia dapat mengeratkan kasih sayang.

“Susu ibu sebaik-baiknya diberikan satu jam selepas kelahiran bayi berkenaan dan ia mestilah diteruskan sehingga usianya enam bulan. Jika ibu memberikan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan pertama pada bayi, tidak perlu risau untuk memberikannya air kerana berasakan bayi haus atau susu badan yang diberi tidak cukup. Sebenarnya, susu ibu mengandungi 70 peratus air dan ia cukup untuk menggalakkan tumbesarannya,” katanya.

Elizabeth berkata, bayi perlu diberikan penyusuan susu ibu dengan kerap sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali dalam sehari. Bagaimanapun, untuk mencapai penyusuan susu ibu secara eksklusif bukanlah mudah bagi kebanyakan ibu pada masa kini. Terdapat beberapa halangan yang ada kala membuatkan ibu putus asa lalu menggantikannya dengan susu formula kepada bayi.

Antara alasan lazim yang diberi kerana berhenti menyusu badan ialah tidak cukup atau tidak ada susu. Ibu membuat tanggapan bahawa bekalan susunya tidak cukup. Selain itu ibu memberitahu, berasa risau kerana bayinya kerap menangis, masih tidak puas selepas menyusu.

“Sama ada saiz payu dara ibu kecil atau besar, adalah mengarut jika menyatakan bayi tidak cukup menyusu badan. Ibu perlu bina keyakinan dirinya setiap kali menyusui anak dan pastikan cara penyusuan dibuat dengan betul. Apa pun bekalan susu yang kurang boleh dirawat. Oleh sebab itulah suami perlu berikan sokongan kepada isteri supaya penyusuan ibu secara eksklusif untuk enam bulan pertama dapat dicapai sepenuhnya demi kebaikan bayi,” katanya.

Beberapa fakta menarik mengenai urutan pada bayi:

# Mengurut membantu melancarkan sistem penghadaman di dalam tubuh, mengurangkan masalah kolik yang terdedah kepada bayi, menjadikan bayi lebih tenang, mudah tidur, kurang meragam dan bebas daripada tekanan atau stres.

# Mengurut bayi boleh dilakukan sejak bayi lahir sehingga berusia enam tahun dan sebaik-baiknya elakkan mengurut mereka sejurus selepas makan atau minum susu.

# Mengurut boleh dilakukan dua atau tiga jam selepas makan atau minum susu, dalam suasana tenang dan orang yang mengurut perlu memastikan kuku mereka tidak panjang dan tajam selain mencuci tangan sebelum mengurut. Ketika mengurut bayi anda perlu bercakap dengannya.

# Minyak atau losyen boleh digunakan ketika mengurut bayi tetapi ia bukannya satu kemestian.

# Teknik mengurut bayi normal dan bayi pramatang berbeza kerana mengurut bayi pramatang adalah lebih ringkas tetapi ia juga dapat membantu golongan itu untuk membesar.

# Mengurut bayi hanya perlu dilakukan 15 minit bagi setiap satu sesi urutan dan sebaik-baiknya dilakukan atau atau dua kali sehari. Setiap urutan di bahagian tertentu perlu dilakukan sebanyak enam kali.

# Walaupun urutan baik harus ingat tidak semua bayi yang suka atau selesa diurut.

Bahaya air dan susu formula bagi bayi berusia kurang enam bulan:

# Amalan memberikan air kepada bayi sebenarnya boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko termasuk merencatkan tumbesaran dan akal, mengancam nyawa serta mengakibatkan sawan tarik.

# Tumbesaran bayi yang diberikan air akan terencat kerana perutnya yang kecil itu sepatutnya diisi dengan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat.

# Air boleh menjadi pembawa kuman kerana pencemaran boleh berlaku pada pelbagai peringkat sama ada sumber air atau bekas yang tidak bersih. Ini akan mendedahkan bayi kepada cirit birit.

# Air akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan.

# Bayi yang menghidap juandis, air yang terlalu banyak boleh merencatkan akal manakala bagi yang berusia di bawah lima minggu, air terlalu banyak akan mencairkan garam di dalam darah dan mengakibatkan suhu badan rendah, kembung atau sawan tarik.

Sumber: Buku Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: