Yasmin Ahmad akan dikenang dengan karya berkualiti

11 Jul

KUALA LUMPUR: Yasmin Ahmad, yang meninggal dunia malam tadi akan dikenang kerana setiap sentuhan karyanya, baik dalam filem mahupun iklan, begitu sinonim dengan garapan yang penuh dengan elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang disampaikan cukup bersahaja berlatarbelakangkan masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah filem dan iklan terkenal itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara di sini kira-kira jam 11.25 malam selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu setelah diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya-karya kreatifnya.

Isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada 1993 sehinggalah memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett kini.

Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.

Tidak keterlaluan sekiranya ramai yang akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri September ini.

Sering dipuji sebagai pengarah iklan, nama Yasmin bagaimanapun cukup kontroversi di arena pefileman tanah air berdasarkan keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.

Malah tidak sah jika filem nukilan Yasmin tidak dikritik kerana sejak filem pertamanya Rabun pada 2003, filem-filem lain arahan Yasmin iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), turut menerima nasib sama.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sudut berbeza sehingga beberapa filem beliau termasuk Sepet diangkat untuk memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Asli Terbaik pada Pesta Filem Malaysia 2005.

Filem Sepet juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.

Filem Gubra pula memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakonlayar Terbaik di Pesta Filem Malaysia 2006.

Filem Muhsin mencatat kejayaan dengan mengungguli Generasi kplus – Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.

Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia – Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.

Selain memenangi anugerah antarabangsa, filem arahan Yasmin banyak menerima pujian dan kritikan daripada masyarakat serta mendapat liputan media tempatan dan luar negara yang meluas.

Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di Festival Filem Cannes yang memberi peluang kepada Yasmin untuk terus menghasilkan filem yang dikatakan mempunyai identiti tersendiri. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: