Memahami tahap kesihatan seorang lelaki

20 Jun

Oleh Dr.Mohd. Ismail Mohd Tambi

KESIHATAN secara am melambangkan kesejahteraan fizikal, mental, spirituil dan sosial.Kesihatan mutlak lelaki berbeza dengan wanita walaupun dari segi keperluan asas ia lebih kurang sama.

Keperluan kesihatan lelaki tidak boleh disamakan dengan keperluan kesihatan keluarga yang banyak berfokuskan wanita dan kanak-kanak.

Lelaki mempunyai keperluan kesihatan yang tersendiri.

Dari perspektif gender lelaki memainkan peranan sosial yang mencabar, seperti kedudukan utama dalam masyarakat dan juga keluarga.

Perkara ini seolah-olah membentuk sahsiah lelaki yang dikatakan sebagai `egosentrik.’ Inilah punca dilema lelaki!

Kajian menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit.

Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun dari wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung jika dibandingkan dengan wanita.

Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita.

Dari perspektif psikologi, lelaki lebih terdedah dengan tekanan dan terlibat dengan keganasan rumah tangga serta di tempat kerja.

Malah, sebilangan besar lelaki membunuh diri akibat tekanan.

Bilangan lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental 40 peratus lebih dari wanita.

Dari aspek sosial, lelaki lebih terasing dari keluarga kerana komitmen pada pekerjaan.

Ini mengakibatkan mereka tidak dapat bermesra dengan anak-anak dan isteri serta mudah terjerat dengan hubungan luar.

Lelaki juga boleh mengalami kanser reproduktif seperti kanser pundi prostat dan kanser buah zakar.

Bagaimanapun, tidak banyak lelaki tahu mengenainya dan cara untuk mencegahnya.

Jika dibandingkan dengan wanita, mereka begitu peka dengan kanser anggota reproduktif seperti kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan sebagainya.

Oleh yang demikian memang wajar lelaki diberi perhatian dalam pengendalian kesihatannya melalui program-program tertentu.

Program Kesejahteraan Lelaki misalnya, dapat membuka hati dan minda mereka supaya berjumpa doktor dan kaunselor kesihatan.

Dengan cara ini dapat menggalakkan mereka menjalani pemeriksaan asas tentang kesihatan dan mendapat maklumat serta bimbingan tentang isu tertentu mengenai kesihatan mereka.

Seperti kereta, yang perlu menjalani servis, lelaki juga perlu menjalani `servis’.

Mengetahui tentang tahap kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan pengambilan ECG sekiranya perlu untuk mengenal pasti keadaan jantung dan tahap kolesterol dalam darah.

Selain itu, pemeriksaan buah zakar penting untuk mengetahui gejala kanser atau ketumbuhan buah zakar.

Pemeriksaan pundi prostat dan ujian darah PSA untuk mengesan penyakit pundi prostat dan tahap glukosa dalam darah untuk mengesan kencing manis.

Kesemua pemeriksaan ini perlu dilakukan secara berkala.

Sekiranya ada masalah, rawatan atau rujukan sewajarnya kepada pakar perubatan perlu dilakukan.

Di samping pemeriksaan kesihatan mereka perlu diberi pendedahan tentang penjagaan kesihatan melalui makanan dan cara hidup yang sihat.

Ini termasuk pemakanan seimbang dan sihat, senaman yang sesuai mengikut umur dan kaunseling kesihatan secara kelompok atau pendedahan kepada ceramah kesihatan lelaki.

Maklumat seterusnya ialah untuk renungan lelaki dan keluarga tersayang supaya dapat memanfaatkannya bersama.

Kesihatan kesuburan lelaki

Lelaki dengan ciri-ciri kesuburan mempunyai anggota reproduksi yang berfungsi normal.

Mereka mempunyai buah zakar yang menghasilkan sperma yang mencukupi dan salur sperma yang tidak terkandas.

Selain itu, mereka juga dapat menyalurkan sperma tanpa sekatan keluar salur kencing semasa ejakulasi.

Pundi prostat, pundi seminal dan pundi cowpers yang berfungsi normal dapat menghasilkan air mazi yang mencukupi untuk menampung sperma dan zakar yang berfungsi normal.

Pada masa yang sama, mereka dapat mencapai ereksi untuk disalurkan ke dalam faraj semasa persetubuhan dan keupayaan klimaks supaya air mani dapat dipancutkan ke dalam faraj.

Cabaran kesihatan kesuburan lelaki

Cabaran kesuburan lelaki ialah apabila lelaki itu tidak mempunyai sperma dalam air mani (azoospermia), tidak mempunyai bilangan sperma yang mencukupi atau tidak mempunyai bilangan sperma yang aktif atau yang berbentuk normal.

Masalah kesuburan juga berlaku apabila lelaki itu tidak dapat menyalurkan zakar ke dalam faraj atau gagal mencapai ejakulasi.

Kira-kira 40 peratus daripada pasangan lelaki yang mengalami masalah kesuburan (jumlah yang sama dengan wanita yang kurang subur).

Jumlah ini dijangka meningkat kerana kurang kepekaan lelaki terhadap kesihatan kesuburannya.

Kajian di Eropah dan negara Scandinavia menunjukkan perubahan alam sekitar dan pencemaran memberi tekanan kepada kesuburan lelaki.

Kesannya, bilangan benih lelaki masa kini kurang jika dibandingkan dengan bilangan sperma lelaki 20 tahun yang lalu.

Lelaki perlu jumpa doktor bersama pasangan wanita sekiranya pasangan itu tidak dapat cahaya mata selepas berkahwin lebih setahun.

Seksualiti ialah proses pengenalan diri seseorang individu baik lelaki atau perempuan.

Proses ini bermula dari peringkat bayi sehingga ke peringkat dewasa dan lanjut usia.

Sebahagian daripada proses ini ialah pengenalan tentang kehendak syahwat dan naluri seksual, hubungan kelamin, kesihatan seksual dan tanggungjawab seksual.

Seksualiti di peringkat bayi berbeza dengan seksualiti peringkat remaja dan lanjut usia.

Tindak balas naluri dan syahwat berbeza untuk remaja dan dewasa serta lanjut usia.

Seperti orang dewasa, remaja mudah terangsang dan mencapai ereksi cuma yang berbeza ialah tumpuannya.

Pada lanjut usia pula, rangsangan dan tumpuan masih ada tetapi tindak balas agak lembap.

* Sebarang soalan mengenai sakit tuan boleh die-melkan ke kesihatan @utusan.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: